Thursday, January 8, 2015

Peralihan usia

Assalamualaikum..

Selepas tamat SPM, saya mengambil untuk keputusan untuk berkerja sementara. Dengan bantuan rakan, saya mendapat kerja di Poh Kong AEON Rawang. Pelbagai pengalaman baru yang saya dapat ketika bekerja. Saya belajar banyak perkara mengenai emas dan berlian. Saya dapat menghadiri majlis makan malam anjuran syarikat. Saya juga dapat mengenali dan mengetahui pelbagai kisah hidup rakan-rakan kerja. Selain itu, saya telah membuat ujian lesen tetapi saya gagal.

Selepas tiga bulan berkerja, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran. Tetapi, saya dalam dilema ketika itu kerana saya telah mendapat dua tawaran yang boleh dikatakan agak sukar untuk ditolak. Tawaran pertama ialah matrikulasi di Tangkak, Johor selama setahun. Tetapi aliran SAINS TULEN! Tawaran kedua Diploma Pengurusan Pejabat dan Teknologi di UiTM Dungun, Terengganu.

Memandangkan saya tidak ingin mengulangi kesilapan yang dahulu, maka saya telah mengambil keputusan untuk memilih tawaran kedua. Ramai orang mengatakan saya telah melepaskan peluang keemasan kerana matrikulasi hanya memakan masa setahun sahaja kemudian saya boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda berbanding dengan Diploma saya perlu belajar selama tiga tahun dahulu. Tetapi, saya tidak mempedulikan kata-kata orang dan mengikut kata hati saya. Saya tahu kebolehan dan kemampuan saya.

Selepas itu, bermulahlah kesibukan saya untuk mempersiapkan diri dan barang sebelum melanjutkan pelajaran. Ini adalah kali pertama saya berpisah dengan keluarga dalam tempoh yang lama.

Alam Remaja

Assalamualaikum..

Apabila usia menginjak 13 tahun, maka bermulah alam remaja saya. Ketika di menengah rendah, berlaku suatu peristiwa sedih yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya. 

Kehilangan abah tercinta ketika berusia 14 tahun betul-betul memberi impak kepada saya. Saya berubah menjadi seorang yang pendiam dan lebih suka memendam perasaan. Sebelum ini, saya banyak bercerita setiap perkara yang terjadi dalam hidup saya kepada arwah abah. Tetapi selepas kehilangannya, saya berubah 100%. Namun begitu, saya bersyukur kerana walaupun separuh semangat saya sudah hilang, saya masih mampu mencatat keputusan yang cemerlang dalam PMR iaitu 7A 1B. 

Ketika di menengah atas, saya telah membuat satu kesilapan di mana ia memberi kesan kepada pelajaran saya. Saya telah salah memilih aliran! Saya tahu saya tidak mampu dan minat untuk belajar dalam aliran Sains Tulen. Tapi saya tidak tahu kenapa saya tetap mengambil aliran itu. Mungkin sewaktu itu, saya fikir saya mampu buat sekiranya saya berusaha bersungguh-sungguh. Banyak duit yang telah mama habiskan untuk saya semata-mata ingin memastikan saya mendapat keputusan yang cemerlang. Malangnya, saya hanya mencatat keputusan 5A 1B 3C untuk SPM. Ketika itu saya rasa seperti anak yang tidak berguna kerana saya tidak mampu menunaikan impian mama dan arwah abah. Kalaulah arwah abah masih ada, saya pasti dia akan kecewa dengan keputusan saya. 

Sepanjang alam persekolah menengah, saya telah belajar banyak perkara. Di sinilah saya belajar erti kesedihan, ketabahan, kekecewaan dan persahabatan.  

KESEDIHAN

Saya rasa selama 21 tahun saya hidup, inilah saat yang paling sedih saya pernah alami. Kehilangan tempat bermanja dalam usia muda telah mematangkan diri saya. 

KETABAHAN

Saya tahu saya perlu menjadi seorang yang tabah supaya mama tidak berasa sedih. Saya tidak pernah menangis depan orang. Tapi saya hanyalah manusia biasa yang lemah. Kadang-kadang saya akan menangis senyap-senyap ketika saya hendak tidur. Walau apa yang terjadi, saya tetap bersyukur kerana saya masih mempunyai mama yang sangat mengambil berat tentang saya. Saya tahu masih ada lagi orang yang mengalami nasib yang lebih teruk dari saya.

KEKECEWAAN

Banyak kekecewaan yang saya alami ketika fasa ini. Kecewa dalam pelajaran, percintaan dan kawan. Saya kecewa dengan keputusan SPM saya. Saya kecewa kerana putus cinta. Saya kecewa ada kawan yang tergamak menikam belakang saya. Namun semua itu mengajar saya untuk menjadi seorang manusia yang berguna. 

PERSAHABATAN

Nilai yang sangat penting saya belajar iaitu erti persahabatan. Walaupun banyak pergaduhan yang berlaku ketika berkawan, tetapi semua itulah yang mengajar saya untuk lebih menghargai persahabatan. Sekarang, rakan-rakan sekelas saya telah membawa haluan masing-masing. Ada yang belajar di Malaysia, Paris, Rusia, Ireland, Australia, dan United Kingdom. Saya bangga dengan pencapaian rakan-rakan saya. Kami masih berhubung sehingga sekarang. 

Tuesday, January 6, 2015

Permulaan Hidup

Assalamualaikum..

21 Februari 1994

Tarikh saya dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Saya memang seorang yang chubby atau dipanggil gemuk sejak dari kecil lagi. Mungkin faktor genetik atau kerana ibu bapa saya tidak kisah memberi saya makan apa sahaja..hehehe.. 

Pendidikan awal saya bermula di pra sekolah di SK AU3 Keramat. Sewaktu di pra sekolah, saya hanyalah murid biasa yang pendiam di dalam kelas. Saya juga tidak berapa aktif di dalam sukan. Tetapi saya boleh dikatakan pelajar yang pandai di dalam kelas. Tapi saya tak pernah dapat nombor satu dalam kelas. 

Kemudian, keluarga saya berpindah ke Bandar Tasik Puteri. Di sinilah tempat saya membesar sehingga sekarang. Bersekolah rendah di SK Bandar Tasik Puteri. Ketika darjah dua, saya dilantik menjadi pengawas sehinggalah darjah enam. Kata cikgu, saya dilantik kerana cikgu nampak saya MACAM garang. Saya masih mengekalkan prestasi pelajaran saya walaupun saya masih tidak mendapat nombor satu. Satu kelebihan yang saya dapat kenal pasti ketika saya di sekolah rendah ialah saya amat minat membaca yang mana kelebihan tersebut tidak ramai yang ada. Dalam masa setahun, saya mampu membaca 800 buah buku. Kerana itulah saya mendapat anugerah NILAM. Alhamdullilah, keputusan UPSR saya cemerlang iaitu 5A.

Apa yang saya pelajari ketika di sekolah rendah ialah saya mesti menjadi seorang yang berani dan yakin pada diri sendiri jika saya ingin berjaya. Selain itu, minat saya terhadap buku telah memberi kebaikan pada saya kerana kini saya boleh membaca apa sahaja jenis bahan bacaan tanpa berasa bosan. Setakat ini sahaja entri saya mengenai kehidupan di sekolah rendah. 

Monday, January 5, 2015

New Blog

Assalamualaikum...

Tahun baru

Umur baru

Azam baru

Azam?

Penting ke ada azam?

Terpulang pada individu tersebut.

Azam saya?

Hanya ingin menjadi seorang muslimah sejati yang berjaya di dunia dan akhirat. In Sya Allah..
Dan ingin membahagiakan satu-satunya mama tercinta.


p/s:  Ini hanyalah entri permulaan saya. Entri akan datang saya akan bercerita perjalanan kehidupan     saya sepanjang 21 tahun saya lahir di muka bumi Allah ini.